Rowley yang dilahirkan di Brisbane, Australia dan memiliki kewarganegaraan Malaysia didaftarkan untuk mengisi kuota pemain tempatan bagi tempoh pendaftaran kedua.

Pemain berusia 29 tahun yang bermain untuk Negeri Sembilan pada tahun lalu itu juga pernah mewakili beberapa pasukan di Liga Jerman termasuk Tennis Borussia Berlin, CS Grevenmacher dan BSC Rehberge Berlin.

Difahamkan, Rowley yang akan memakai jersi bernombor 55 akan memberi lebih pilihan kepada barisan jurulatih untuk menghadapi jadual perlawanan padat bermula Jun ini termasuk aksi Separuh Akhir Piala FA.

Sementara itu, laman rasmi Facebook Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memaklumkan, pihak pengurusan mengalu-alukan kehadiran Rowley bagi memberi persaingan sihat buat rakan sepasukan lain dalam menyasarkan pasukan memburu kemenangan pada setiap perlawanan.

“David Rowley mengisi kuota pemain tempatan skuad hijau kuning dan jika prestasinya mampu memikat Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak, ia memberi lebih pilihan dalam menghadapi jadual yang padat bermula Jun nanti,” kata laman itu di sini hari ini.

Lang Merah kini berada di tangga ketiga Liga Super dengan berkongsi 22 mata bersama Selangor selepas mengharungi 14 perlawanan yang menyaksikan pasukan itu memenangi enam perlawanan dan empat seri. -UTUSAN ONLINE