Penyerang Watford, Troy Deeney, yang menyekat segala balasan mesej dalam akaun Instagram miliknya, awal bulan ini, selepas dihina, menyuarakan kemarahannya dan pemain itu bersama rakan seperjuangannya bersetuju melancarkan kempen dengan berkata: “Cukup, cukup.”

Kempen tersebut, diselaraskan oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA) yang menggesa para pemain agar menghindari media sosial bermula pukul 9 pagi (5 petang waktu Malaysia), hari ini.

Mesej tersebut akan dihebahkan kepada semua pemain bola sepak dengan menggunakan akaun Twitter bertanda pagar #Enough menerusi mesej “MAKE A STAND AGAINST RACISM” (BERPEGANG KEPADA PENDIRIAN MENENTANG PERKAUMAN), sebuah kempen yang dilancarkan oleh PFA.

PFA berkata, arahan memboikot itu merupakan langkah pertama bagi menjayakan kempen jangka panjang untuk menangani masalah perkauman dalam bola sepak.

Tindakan boikot itu tidak hanya disasarkan kepada mereka yang menggunakan platform bagi menyuarakan pandangan perkauman, tetapi juga ditujukan buat syarikat media sosial dan pengurusan tertinggi bola sepak.

Kebimbangan semakin meningkat, terhadap bagaimana bola sepak menangani isu perkauman ekoran jumlah insiden yang berlaku baik ketika di dalam padang mahupun di media sosial. Pemain England berkulit hitam berdepan penghinaan perkauman berulang kali melibatkan perlawanan kelayakan Euro 2020 di Montenegro, bulan lalu.

Salah seorang yang menjadi sasaran ialah pemain pertahanan Danny Rose. Selepas insiden itu menimpanya pemain tersebut berkata, dia tidak sabar untuk berpaling daripada bola sepak.

Segelintir pengurus seperti pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, yang mana pemain bintangnya, Mohamed Salah menjadi sasaran penghinaan Islamophobic oleh penyokong Chelsea, minggu lalu, berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk membawa pemainnya keluar dari padang. - AFP