Sebaliknya, pemain yang berasal dari Kulim, Kedah itu mahu memanfaatkan situasi tersebut dengan menambat hati jurulatih skuad Bawah 22 (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee yang sedang mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi Piala AFF B-22 di Phnom Penh, Kemboja pada 17 hingga 26 Februari ini.

“Ini kali kedua saya menyertai pasukan beliau selepas kali pertama kami menjalani latihan intensif di Korea Selatan pada tahun lalu. Bagi saya, apa yang berlaku membuka peluang untuk saya membuktikan sesuatu kepada pasukan.

“Saya lihat peluang sama rata untuk semua pemain. Saya tidak fikir saya pilihan kedua jurulatih kerana saya perlu berfikiran positif,” katanya kepada pemberita di padang latihan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.

Seorang lagi pemain yang baharu menyertai pasukan adalah Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham dari Negeri Sembilan.

Lima pemain yang tidak dilepaskan adalah Muhammad Danial Amier Norhisham dan Muhammad Zahril Azri dari Felda United kemudian Faisal Abdul Halim (Pahang), Syahmi Safari (Selangor) Serta Fadzrul Daniel Nizam (Kedah).

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen berdepan tuan rumah, Kemboja pada 18 Februari diikuti Indonesia (20 Februari) dan Myanmar (22 Februari).

Dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir pada 24 Februari dan aksi final pula dijadualkan dua hari kemudian. Semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional, Phnom Penh. - UTUSAN ONLINE