Jurulatih Bos Gaurus, Mehmet Durakovic berkata, dia mahu menguji pemain ini daripada segi mental dan fizikal sebelum mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirai pada 1 ­Februari depan.

“Bagi saya, kejuaraan Unity Shield ini memberi peluang kepada para pemain muda yang diserapkan ke skuad utama pada musim ini menampilkan aksi terbaik mereka.

“Dalam masa yang sama, saya juga mahu setiap pemain yang akan diturunkan nanti memberikan komitmen 100 peratus bagi merangkul kejuaraan ini sebelum kempen liga bermula,” katanya ketika ditemui di Stadium Perak di sini hari ini.

Unity Shield adalah kejohanan yang diilhamkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, selain bertujuan mengeratkan hubungan antara Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Selain itu, katanya, segala persiapan menjelang aksi berkenaan juga berjalan lancar dengan hampir ke semua pemain utama skuad Bos Gaurus sudah pun kembali menyertai pasukan sekembalinya daripada bercuti.

“Semua pemain juga bebas daripada sebarang kecederaan termasuk beberapa pemain yang telah kembali selepas bersama skuad kebangsaan dalam kejohanan Piala AFF Suzuki sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pemain import, Zac Anderson berharap mampu memberikan aksi terbaik, sekali gus membantu Perak menjuarai kejohanan itu.

Katanya, walaupun kejohanan itu hanya melibatkan dua pasukan, namun ia seharusnya dipandang serius setiap pemain dalam memastikan Perak berjaya muncul selaku juara.

“Ia juga akan menjadi hadiah yang cukup manis kepada saya selaku pemain baharu dalam pasukan dan pada masa yang sama kepada para penyokong,” katanya. – BERNAMA