Jaringan Samuel Umtiti menerusi tandukan yang membantu Perancis melakar kemenangan 1-0 ke atas Belgium dalam separuh akhir di Saint Petersburg hari ini menyaksikan generasi emas Red Devils sekali lagi ditimpa kekalahan yang amat memeritkan.

Skuad muda berbakat Perancis itu kini sudah boleh mengalihkan fokus mereka bagi menebus kekalahan kepada Portugal di laman sendiri dua tahun lalu dengan menang ke atas sama ada England atau Croatia.

“Perlawanan akhir wajib dimenangi kerana kami masih tidak dapat melupakan kekalahan yang menimpa kami dua tahun lalu. Kejayaan ini merupakan sesuatu yang luar biasa. Saya sangat gembira dengan para pemain saya. Mereka masih muda tetapi memiliki perwatakan yang mahukan kemenangan,” kata Deschamps.

Dalam Piala Dunia kali ini yang kerap menyajikan jaringan diperoleh menerusi situasi bola mati, telah menyaksikan Umtiti melakukan larian sempurna untuk menanduk masuk sepakan sudut daripada Antoine Griezmann enam minit selepas separuh masa kedua bermula.

Selain menjadi penjaring gol kemenangan, gandingan Umtiti dan Raphael Varane di posisi bek tengah terus mempamerkan kecemerlangan, dengan dibantu kapten Hugo Lloris yang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

Di bahagian hadapan pula Perancis memiliki senjata berbahaya iaitu pemain remaja Kylian Mbappe, tetapi dalam perlawanan Olivier Giroud yang menjadi tumpuan jentera serangan Deschamps.

Giroud belum menjaringkan gol dalam lapan perlawanan dan dia juga masih gagal melakukan percubaan tepat ke pintu gol setakat ini.

“Saya tidaklah terlalu tenggelam. Saya gemar membantu pasukan memburu kemenangan. Masalah tersebut tidak mengganggu saya, tetapi sekali lagi saya yakin terhadap peluang saya untuk menjaringkan gol dalam perlawanan akhir dan membantu pasukan membawa pulang Piala Dunia,” kata Giroud.

Belgium menguasai bola sejak awal permainan menerusi percubaan berbahaya Eden Hazard. Percubaan pertama bintang Chelsea tersebut sedikit tersasar, tetapi usahanya selepas itu tepat mengarah ke gawang pasukan Perancis, namun tandukan Varane menghalang bola membolosi pintu gol lawan. – AFP