Pele,78, dibenarkan keluar selepas Neymar datang melawatnya di hospital yang terletak di ibu negara Perancis itu.

Penyerang Paris Saint-Germain itu, memuat naik gambar di akaun Instagramnya awal pagi tadi bersama-sama Pele yang tersenyum di katil hospital sambil kedua-duanya berpegangan tangan.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas ingatan dan doa anda semua.

“Terima kasih juga atas perhatian yang ditunjukkan kakitangan perubatan di hospital America di Paris, saya akan pulang tidak lama lagi,” kata Pele menerusi kenyataan yang dipetik laman web berita Brazil Globo Sport.

Pemenang Piala Dunia tiga kali itu dimasukkan ke hospital susulan jangkitan pundi kencing Rabu lalu, pada hari dia tampil dalam acara promosi bersama penyerang Perancis, Kylian Mbappe.

Laporan media Brazil, G1 menyatakan Pele bercadang untuk keluar daripada hospital itu pada Sabtu untuk kembali ke Brazil tetapi terpaksa menundanya berikutan beberapa ujian lanjut.

Jangkitan itu tidak serius dan berada di bawah kawalan.

“Terima kasih banyak-banyak atas kasih saya anda! Antibiotik itu berkesan. Saya rasa lebih baik dan fikir sudah sedia untuk kembali bermain,” kata Pele menerusi Twitter pada Jumaat. - AFP