Tiga pemain yang menyertai PDRM adalah penjaga gol, Shahril Saari, pemain tengah, Shukor Azmi serta pertahanan berpengalaman, Azmizi Azmi.


Menurut pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar, kemasukan tiga pemain itu bukan mudah kerana ia mengambil kira pandangan E.Elavarasan yang merupakan pengendali baharu The Cops.


Justeru beliau berikan penghargaan kepada MFL kerana memberikan ruang kepada mereka menyelamatkan karier pemain-pemain Perlis serta menampung kekurangan dimiliki skuad PDRM.


“Terima kasih pada MFL kerana bagi peluang kepada kami selamatkan periuk nasi pemain selepas apa yang terjadi kepada Perlis selain membantu perbaiki masalah pasukan kami.


“Tempoh 30 hari yang diberikan MFL bagi saya amat baik sekali kerana ia berikan kami ruang yang cukup sebelum buat keputusan ambil ketiga-tiga pemain ini.


“Saya percaya kehadiran Shahril terutamanya yang telah beraksi ketika menentang UKM selain Azmizi bakal berikan impak yang besar di bahagian pertahanan nanti,” katanya.


MFL pada 20 Februari lalu membatalkan penyertaan Perlis berkuatkuasa serta merta dalam semua pertandingan Liga Malaysia ekoran pasukan itu tidak miliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan sehingga penghujung musim ini.


Keputusan itu dicapai selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL meneliti dokumen kewangan yang diserah Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) tidak mencukupi untuk bersaing sepanjang Liga Malaysia musim ini.


Namun, Ahli Lembaga Pengarah MFL bersetuju beri kelonggaran kepada pemain Perlis mencari pasukan baharu selama 30 hari sejak 20 Februari sebagai tanda prihatin akan masalah mereka mendapat pasukan di saat akhir.


Dalam pada itu, Azmizi Azmi lega peluang saat akhir diberikan PDRM sambil turut ucapkan terima kasih kepada MFL yang bertimbang rasa terhadap nasib pemain Perlis.


“Terima kasih PDRM, terima kasih MFL, saya pun tidak jangka akan dapat bermain lagi pada musim ini sebaik Perlis telah dibatalkan penyertaan.


“Namun syarat 30 hari itu benar-benar membantu kerana bukan senang hendak dapatkan pasukan baharu dalam situasi sebegini.


“Saya tidak mahu berjanji apa-apa kepada PDRM tetapi sudah tentu mahu bantu mereka dapatkan keputusan lebih baik pada perlawanan akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE