Dalam aksi separuh masa pertama, PDRM lebih banyak mengasak kubu tuan rumah memaksa pertahanan Negeri Sembilan berhempas pulas mengeluarkan bola dari kotak penalti.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun terlebih dahulu memperoleh gol pertama pada minit ke-30 berpunca daripada tendangan percuma di penjuru kiri gol PDRM.

Pemain tengah, Dzulfahmi Abdul Hadi mengambil sepakan leret terus ke depan pintu gol lawan, namun penyerang import PDRM, Uche Agba yang cuba menolak bola itu keluar menguis masuk ke dalam gol sendiri.

Agba bagaimanapun menebus kesilapannya itu empat minit kemudian apabila menjaringkan gol PDRM pada minit ke-34 melalui tandukan di depan pintu gol tuan rumah hasil hantaran R. Gopinathan.

Dzulfahmi sekali lagi menonjol apabila menjaringkan gol pada minit ke-68 selepas dia memanfaatkan bola yang terlepas dari benteng PDRM susulan sepakan percuma di luar kotak penalti.

Pada minit ke-83, PDRM berjaya menyamakan kedudukan berpunca daripada kesilapan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman yang keluar daripada kotak penalti untuk menyelamatkan bola.

Bola yang terlepas daripada kawalannya disambar oleh pemain tengah PDRM, Lee Changhoon yang menyepak terus ke gawang Negeri Sembilan.

Changhoon menjadi jentera pemusnah tuan rumah apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 hasil sepakan percuma dari jarak 30 meter yang menuju terus ke gawang Negeri Sembilan.

Perlawanan terakhir Negeri Sembilan di laman sendiri malam ini telah menarik kehadiran 4,887 penonton berbanding jumlah yang rendah sebelum ini. - UTUSAN ONLINE