Beliau yang cukup berpengalaman dalam kancah bola sepak tempatan turut menggesa agar hukuman lebih drastik diambil jika perlu demi kebaikan bola sepak tempatan.

Tambahnya, perjuangan untuk memartabatkan bola sepak tidak semudah seperti yang disangkakan seandainya terdapat segelintir pasukan Liga Malaysia tidak mengamalkan sikap profesionalisme.

“Semua orang mahu melihat Liga Malaysia jadi seperti Liga Korea, Liga Jepun atau La Liga (Sepanyol) tetapi hakikatnya adakah kita sedar pasukan itu sendiri mencapai tahap yang dimahukan?

“Sebagai contohnya, satu pasukan yang bagus harus memiliki padang yang baik dan apakah langkah yang harus diambil oleh MFL sekiranya pasukan-pasukan tidak mengikuti peraturan?

“Secara peribadi, saya menganggap MFL banyak memberi pertimbangan kepada pasukan yang bertanding tapi mereka perlu juga tegas dalam banyak perkara.

“Banyak yang berlaku pada awal musim ini di mana ada pasukan yang berdepan masalah kewangan masih berada dalam Liga Malaysia,” katanya.

Kelmarin, MFL mengumumkan tujuh pasukan Kuala Lumpur, Felda United, Melaka yang beraksi dalam Liga Super dan Kelantan, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang (Liga Perdana) dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Mengulas lanjut katanya, jika ada lapan pasukan yang menepati status profesional dengan memenuhi semua kriteria yang ditetapkan, tidak salah untuk MFL menganjurkan liga dengan 8 pasukan sahaja kerana ini kebaikan bola sepak Malaysia.

“Kalau kita sanggup tanggung kesakitan untuk tempoh jangka masa terdekat demi kebaikkan jangka masa panjang, apa salahnya?

“Jadi, saya menganggap tindakan yang dikeluarkan oleh MFL bukanlah untuk menghukum sebaliknya mahu mendidik pasukan ke arah lebih berkualiti.

“Peraturan-peraturan digubal untuk melindungi integriti liga. Kalau peraturan dilanggar tindakan harus diambil demi kebaikan bolasepak negara,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE