Pertemuan mereka di Stadium Darul Aman Februari lalu me­nyaksikan Pahang tewas 1-4 kepada Kedah yang ketika itu dikendalikan Tan Cheng Hoe.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh mengakui, pasukannya masih baharu namun memiliki barisan pemain muda yang mampu bersaing di peringkat tertinggi meskipun tidak memiliki pengalaman luas seperti pemain Kedah.

Walaupun keserasian dalam kalangan pemain Pahang tidak sehebat lawan mereka, namun pe­ngendali berusia 54 tahun itu percaya anak-anak buahnya mampu mencipta sejarah tersendiri.

“Kenapa kami tidak boleh jadi juara? Alang-alang dah masuk final. Mungkin pasukan kami terdiri daripada pemain muda tetapi saya lihat mereka ini ada kualiti, jika tiada kualiti tidak mungkin sampai ke final.

“Memang saya akui, pemain-pemain saya kurang pengalaman (bermain) di pentas final berbanding Kedah tetapi saya percaya persiapan yang dilakukan selama ini akan memberikan keputusan positif.

“Kekalahan dalam aksi Liga Super saya tidak mahu jadikannya sebagai penanda aras kerana ketika itu persaingan liga baru bermula dan pada masa itu juga pasukan saya masih belum serasi tetapi aksi final adalah perkara berbeza,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Shah Alam, di sini hari ini.

Sementara itu, Dollah memberitahu, memiliki jurulatih berpengalaman bukan suatu jaminan untuk sesebuah pasukan menjadi juara dalam mana-mana perlawanan akhir.

Katanya, keputusan sebenar perlawanan hanya akan ditentukan oleh barisan pemain yang beraksi di padang.

Dollah merupakan nama besar dalam arena bola sepak negara selain mempunyai profil cemerlang setelah berjaya meraih beberapa kejayaan bersama pasukan terdahulu termasuk Selangor dan PDRM selain pernah bergelar ke­tua jurulatih skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, katanya, faktor itu tidak boleh dijadikan perbandingan meskipun Kedah kini dibimbing pemangku jurulatih Mohd. Nidzam Adzha Yusoff.

“Saya akui pengalaman yang ada pada setiap jurulatih adalah berbeza, meskipun Nidzam baru dilantik sebagai pemangku jurulatih, saya lihat itu bukan satu isu memandangkan pemain-pemain mereka memiliki pengalaman keserasian tersendiri.

“Mereka telah berada lama dalam skuad Kedah, hampir tiga tahun,” katanya.