Skuad Harimau Selatan terlebih dahulu membolosi gawang Tok Gajah pada minit ke-46 menerusi jaringan Gonzalo Cabrera.

Safwan Baharuddin menjadi wira Pahang apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-91 menerusi tandukan selepas menerima hantaran daripada Muslim Ahmad.

Bermula separuh masa pertama, pemain JDT, Fernando Elizari mempunyai peluang terbaik membolosi gawang Tok Gajah pada minit ke-26 namun rembatan kencang pemain import Harimau Selatan itu dari luar kotak penalti berjaya ditepis Helmi Eliza Alias.

Pahang juga mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ke-33 perlawanan namun bola tandukan kencang Patrick Cruz menerusi hantaran Mohamadou Sumareh sedikit melepasi gawang Harimau Selatan.

Anak buah Dollah Salleh sekali lagi mempunyai peluang terbaik menjaringkan gol namun bola hantaran Sumareh dari kiri gawang lawan gagal disempurnakan dengan baik oleh penyerang, Nor Sharul Idlan Talaha atau Mat Yo.

Sumareh sekali lagi memiliki peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-63 namun bola rembatannya hanya menggegarkan gawang tepi skuad Harimau Selatan. 

Selepas ini Pahang bakal berkunjung ke selatan untuk aksi suku akhir kedua menentang JDT pada 29 September ini. - UTUSAN ONLINE