Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata bagaimanapun PAFA tidak mahu sewenang-wenangnya membeli pemain-pemain import yang nyata perlu mengeluarkan perbelanjaan yang mahal.

"Tetapi kalau boleh saya mahu 'groom' pemain-pemain tempatan negeri kita. Walaupun akan mengambil sedikit masa tetapi biarlah akhirnya kejayaan itu lebih manis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Fiesta Sehati @RTM #UntukKomeLer yang diadakan bersempena menyambut Hari RTM ke-73 di perkarangan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Pemain import yang mewakili skuad The Bos Gaurus pada musim ini ialah Leandro Dos Santos, Wander Luiz, Gilmar Jose Da Silva dan Zac Anderson.

Berdasarkan kedudukan dalam carta Liga Super 2019 setakat lapan perlawanan sebelum ini, Perak kini berada di kedudukan ketujuh dengan satu kemenangan, satu kalah manakala enam lagi seri.

Ahmad Faizal juga berkata sebagai presiden dan peminat bola sepak, beliau berasa kecewa dengan keputusan perlawanan setakat ini namun skuad The Bos Gaurus perlu mengekalkan momentum selain meneruskan permainan dengan baik.

Beliau juga berkata pihaknya memahami perasaan para penyokong namun dari segi pentadbiran, PAFA telah menjaga kebajikan para pemain dan pegawai dengan sehabis baik.

"Namun persembahan di atas padang itu banyak bergantung kepada pemain-pemain itu sendiri dan latihan yang mereka buat sepanjang hari. Maka kita dapat terus bagi sokongan dan kita harap kita dapat keputusan yang lebih selepas ini," katanya.

Beliau juga meminta agar pengendali Perak, Mehmed Durakovich dapat mempertajamkan lagi barisan serangan pasukan The Bos Gaurus yang akan menentang Pahang di Stadium Perak pada 20 April ini. - BERNAMA