Pasukan tuan rumah mendahului 1-0 pada minit ke-11 hasil jaringan pemain import, Jose Almir Barros Neto.

Gol itu diperoleh selepas pemain yang berasal dari Brazil itu berjaya memintas bola yang cuba dihantar oleh pertahanan lawan kepada penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli.

JDT II bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan apabila memperoleh penalti pada minit ke-28 perlawanan.

Md. Rozaimi Abd. Rahman menyempurnakan peluang itu menjadikan kedudukan 1-1.

Dalam aksi separuh masa kedua, pasukan pelawat dikejutkan dengan jaringan gol jarak jauh cantik oleh pasukan lawan pada minit ke-62.

PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Ferrisdanial Mat Nasir cuba merampas bola daripada pemain JDT ll, K

PEMAIN Negeri Sembilan, Muhammad Ferrisdanial Mat Nasir cuba merampas bola daripada pemain JDT ll, Kumaahran Sathasivam dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban malam ini. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Ia terhasil daripada sepakan percuma yang diambil oleh Matheus Fernandes Vila Real dari jarak kira-kira 40 meter dari gawang JDT II.

Bola daripada sepakan terus itu menerjah masuk ke penjuru kiri pintu gol dan gagal dibaca oleh Muhammad Haziq.

Negeri Sembilan menambah derita JDT II dengan gol ketiga pada minit ke-86 melalui Igor Carneiro Luiz yang menguis masuk hantaran hasil sepakan percuma di kiri gol lawan. - UTUSAN ONLINE