PSG sekali lagi turun tanpa penjaring terbanyak Edinson Cavani, yang juga akan terlepas aksi menentang Rennes di separuh akhir Piala Liga hujung bulan ini selepas pulang lewat daripada menyambut Krismas dan Tahun Baharu di Uruguay.

Harapan Amiens mencipta kejutan bertukar mustahil selepas penjaga gol, Regis Gurtner dilayangkan kad merah pada minit ke-34 selepas mengasari Kylian Mbappe di luar kotak penalti.

Neymar meletakkan situasi lebih sukar buat tuan rumah selepas menjaringkan penalti pada minit ke-53 dalam aksi di Stade de la Licorne.

Adrien Rabiot kemudian mengesahkan kemenangan 2-0 PSG menerusi tandukan 12 minit sebelum wisel penamat dibunyikan selepas memanfaatkan tendangan sudut Angel Di Maria .

“Pasukan kami bekerja keras, namun kami gagal menyerlah seperti Ahad lepas. Bagaimanapun kami tidak mensia-siakan peluang. Agak mudah untuk kami menang sebab kami ada lebih pemain,” kata jurulatih PSG, Unai Emery.- AFP