Gol pertama tuan rumah dijaringkan Muhammad Fakrul Aiman Sidid pada minit ke-44 yang melakukan larian solo selepas mendapat hantaran dari tengah padang.

Sepakan pertama pemain itu gagal ditepis penjaga gol UKM FC, Muhamad Nor Haziq Mohd. Aris.

Bola yang muntah disepak sekali lagi penyerang Negeri Sembilan itu untuk menembusi gawang pasukan lawan.

Separuh masa kedua, Negeri Sembilan terus di depan dengan gol kedua pada minit ke-57.

Pemain import, Flavio Beck Junior melakukan hantaran lintang di kiri gol pelawat yang disudahkan dengan tandukan pemain tengah, Mohammad Faizal Abu Bakar.

UKM FC menjaringkan gol tunggal pada minit ke-88 melalui tandukan pemain import, Michael Chukwubunna Ijezie.

Turut menyaksikan perlawanan malam ini ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) yang baharu, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri. - UTUSAN ONLINE