Pasukan tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit ke-9 hasil jaringan pemain Muhammad Ferris Danial Mat Nasir yang menyempurnakan hantaran lintang Muhammad Izuan Mohd. Salahudin.

Negeri Sembilan terlepas peluang menjaringkan gol kedua pada minit ke-28, apabila sepakan pemain import dari Brazil, Jose Almir Barros Neto yang hanya berhadapan Andy Nicholas Nipen, terkena kaki penjaga gol Sarawak itu.

Separuh masa kedua, Jose Almir menebus kehampaan itu apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-51.

Kali ini, pemain itu menanduk masuk hantaran lintang oleh Dzulfahmi Abdul Hadi.

Bagaimanapun, pasukan pelawat berjaya merapatkan kedudukan empat minit selepas itu melalui Pedro Henrique Dias De Amorim.

Pemain import Sarawak dari Brazil itu menanduk masuk hantaran lintang oleh Nur Shamie Iszuan Amin.

Kedudukan itu kekal hingga ke wisel penamat. - UTUSAN ONLINE