Pasukan tuan rumah menjaringkan gol pertama pada minit ke-31 selepas memperoleh sepakan percuma di luar bahagian kanan kotak penalti Pulau Pinang.

Pemain import Negeri Sembilan dari Jepun, Shunsuke Nakatake merembat kencang bola ke dalam gawang menewaskan penjaga gol, Muhammad Hazrull Hafiz Zulkifly.

Kedua-dua pasukan yang masih mencari rentak kemenangan berhempas pulas cuba menembusi kubu lawan namun serangan pemain Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sering kecundang di tengah padang.

Separuh masa kedua, Pulau Pinang yang menduduki tangga kesembilan liga bangkit mencari gol penyamaan.

Hasilnya, pada minit ke-67, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan dengan jaringan pemain import kelahiran Argentina, Julian Bottaro yang menguis masuk ke gawang selepas memperoleh hantaran lintang rakan sepasukannya.

Pemain Negeri Sembilan, Aroon Kumar Ramaloo dibuang padang pada minit ke-89 selepas mengutip kad kuning kedua kerana mengasari pemain Pulau Pinang.

Kedudukan 1-1 kekal hingga ke wisel penamat. - UTUSAN ONLINE