Cadangan menggunakan pemain naturalisasi hadir selepas Malaysia berada dalam fasa merudum selama hampir 30 tahun susulan prestasi buruk sehingga kedudukan skuad negara dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terjejas di tangga ke-168 pada April 2019 berbanding ke-80 pada 1993.

Selama fasa kejatuhan itu, negara Asia lain mula menunjukkan peningkatan drastik antaranya Korea Selatan, sehingga mampu menyaingi kehebatan pasukan gergasi dunia, manakala Malaysia tidak lagi dianggap sebagai pasukan digeruni seperti pada era 1970-an dan 80-an.

Menyedari hal itu, FAM yang menyasarkan Malaysia berada dalam kelompok 100 terbaik menjelang 2026 mengorak langkah awal dengan menjadikan penyerang Pahang Mohamadou Sumareh sebagai pemain naturalisasi pertama negara pada Julai 2018.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berpendapat untuk membuka lebih kuota pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan memerlukan kajian menyel uruh, selain perlu mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak.

“Proses naturalisasi ahli sukan adalah satu dasar melibatkan pelbagai pihak dan pemegang taruh lain di luar bidang sukan. Perkara ini perlu ada kajian dan perancangan teliti selain forum atau perbincangan terhadap impak proses itu pada masa hadapan.

“Kesannya bukan sahaja dari sudut sukan tetapi juga aspek seperti keselamatan dan kebajikan yang bukan sahaja melibatkan penduduk negara sedia ada, tetapi individu yang akan diberikan taraf warganegara. Hubungan diplomatik juga perlu diambil kira,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Shapawi turut meluahkan kebimbangan timbul masalah sama dihadapi kesan daripada menaturalisasikan atlet dalam usaha kerajaan ketika memperkuatkan kontinjen negara menghadapi Sukan Komanwel 1998.

“Kita pernah buat kaedah ini dengan membawa tiga atlet dan impak terhadap prestasi sukan itu ada kesannya tetapi tidaklah mendapat pulangan seperti diharapkan. Hanya Hidayat (Hidayat Hamidon) dan Yu Fang (Yuan Yu Fang) boleh dianggap berjaya sementara banyak timbul masalah dalam kes Irina (Irina Maharani),” katanya.

Hidayat yang merangkul pingat emas dan perak pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dalam acara angkat berat adalah atlet kelahiran Indonesia sementara Yu Fang (jalan kaki) dan Irina (menembak) masing-masing berasal dari China dan Ukraine.

Undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyebut bahawa seseorang pemain bola sepak boleh mewakili negara berbeza sebelum berumur 21 tahun atau sekiranya melepasi had umur itu dibenarkan untuk mewakili negara lain dengan syarat belum mewakili negara asal.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi sebelum ini dipetik sebagai berkata pendekatan membawa masuk pemain naturalisasi itu hadir bersama tiga pelan yang memfokuskan kepada pemantapan mutu serta kualiti skuad kebangsaan secara berperingkat.

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi kelolaan FAM itu mengakui usaha sedang giat dijalankan dan menerusi pelan jangka pendek, pemain Melaka United Liridon Krasniqi dan penyerang sensasi Kuala Lumpur, Guilherme De Paula kini semakin hampir mengikut jejak Sumareh. - BERNAMA