Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, pengurusan pasukan akan membuat penilaian menyeluruh prestasi Yee Fatt berdasarkan pencapaian skuad The City Boys dalam saingan Liga Super dan Piala FA pada musim ini.

“Sekiranya pasukan Kuala Lumpur layak ke Piala Malaysia (awal Ogos ini) atau Piala Cabaran, kita akan turut membuat penilaian terhadap prestasi beliau dan keputusan berhubung kontrak beliau akan dimaklumkan pada November nanti,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Nokman menegaskan sekiranya berlaku perubahan tampuk kepimpinan pada November nanti, pengurusan baharu akan membuat keputusan berhubung masa depan Yee Fatt.

KLFA bakal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada November ini i bagi memilih ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2018-2022.

Untuk rekod, KLFA melantik Yee Fatt sebagai pengendali sementara Kuala Lumpur pada Mac lepas susulan peletakan jawatan pengendali pasukan berkenaan, Yusri Che Lah berikutan prestasi hambar pasukan berkenaan dalam saingan Liga Super.

Dalam pada itu, Nokman memaklumkan KLFA akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dalam tempoh terdekat bagi menentukan nasib sembilan ahli gabungannya yang digugurkan keahlian pada 13 Jun lepas.

Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan sebelum ini mengesahkan sembilan ahli gabungan KLFA telah digugurkan keahlian kerana membuat laporan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kegagalan KLFA mengadakan AGM untuk memilih ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2018-2022.

“Kita akan memberi tempoh sebulan kepada sembilan ahli gabungan berkenaan yang dipecat selepas mesyuarat berkenaan, dan sebarang keputusan akan dibuat pada mesyuarat berkenaan,” jelas Nokman.

Dalam perkembangan berasingan, Nokman berharap pemain skuad warga kota dapat meraih keputusan positif dalam baki dua aksi Liga Super menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak untuk kekal beraksi pada saingan musim depan.

Kuala Lumpur kini berada dalam zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan setelah menduduki tangga tercorot daripada 12 pasukan dengan kutipan 14 mata selepas 20 perlawanan. - BERNAMA