Katanya meskipun sedikit kecewa namun beliau tetap berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.

"Saya berpuas hati kami meraih satu mata. Secara jujurnya, kami boleh menang jika dua atau tiga peluang yang terhasil dapat disudahkan ke dalam jaring gol PKNS.

"Apapun saya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para pemain walaupun beraksi di atas padang yang licin sepanjang 90 minit permainan," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, gol pertama pasukan Perak dijaringkan Muhammad Shahrel Fikry Md Fauzi pada minit ke-38 selain gol kedua disumbangkan pemain import dari Brazil, Gilmar Da Silva di minit ke-52.

Sementara itu, PKNS FC pula membalas dengan dua jaringan yang dihasilkan Gabriel Guerra pada minit ke-22 dan Romel Morales pada minit ke-55.

Mehmed berkata, beliau turut memuji aksi yang ditampilkan pasukan pelawat kerana berjaya menyukarkan misi Perak untuk meraih tiga mata penuh.

"Kita seharusnya berikan kredit kepada mereka kerana berjaya mempamerkan aksi bertenaga terutama dalam bertahan dan ia sememangnya menyukarkan kami untuk mencari gol tambahan," katanya.

Sementara itu, jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagopal berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan seri yang dicatatkan oleh pasukannya pada perlawanan tersebut.

Katanya, para pemain terutama pertahanan kanan, K. Kannan telah menunjukkan aksi yang terpuji meskipun baru pertama kali diturunkan dalam aksi liga super pada musim ini.- BERNAMA