Sehingga kini, spekulasi bahawa Naib Pengerusi United, Ed Woodward bersedia memecat pengendali dari Portugal itu tersebar luas selepas mereka tewas dua kali berturut-turut dalam tiga aksi pembukaan liga.

Selepas tewas 2-3 di Brigh­ton pada 19 Ogos lalu, United dibenam 0-3 oleh Tottenham dalam aksi di Old Trafford, semalam, kekalahan yang meletakkan mereka di tangga 13 liga ketika ini.

Episod tersebut sama seperti hari-hari terakhir pengurus pasukan terdahulu, Louis van Gaal pada 2016 sebelum dia digantikan dengan Mourinho.

Ramai yang meramalkan kemungkinan besar legenda Pe­rancis dan Real Madrid, Zinedine Zidane akan mengisi kerusi panas tersebut.

“Mereka mengatakan Jose akan meninggalkan United tidak lama lagi.

“Ramai yang meramalkan dia akan disingkirkan jika United kalah kepada Burnley. Mereka menjangkakan Jose tidak dapat bertahan selepas bulan September.

“Kami telah melihat keadaan yang sama sebelum ini (merujuk situasi Van Gaal). United secara terbuka akan mengatakan mereka menyokong Jose tetapi kita semua dapat lihat apa yang pernah terjadi berlaku pada Louis.

“Pemain sudah bercakap mengenai kemungkinan Zidane akan tiba ke sini,” kata sumber kepada akhbar Britain, Daily Mail semalam.

Sementara itu, bekas kapten United, Bryan Robson mempertahankan Mourinho dan meng­anggap jurulatih kontroversi itu menjadi ‘sasaran mudah’ buat penyokong Red Devils yang tidak berpuas hati.

“Ia terlalu mudah. Minoriti penyokong kelab mahu pengurus disingkir selepas beberapa keputusan buruk dan mereka bercakap dengan lantang.

“Jose memiliki rekod yang baik.

“Selepas tiga perlawanan, anda tidak sepatutnya bercakap tentang memecat pengurus, sebaliknya memberi galakan dan menyokongnya,” kata Robson kepada MUTV. – AGENSI