Pertahanan Jepun, Yuto Nagamoto menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan Inter menerusi sepakan penalti penentuan setelah perlawanan di San Siro berkesudahan seri tanpa ja­ringan selepas tamat 120 minit.

Penonton juga disajikan de­ngan aksi cemerlang penjaga gawang tuan rumah Daniele Padelli yang menyelamatkan dua sepakan penalti.

Inter bakal berdepan pemenang di antara AC Milan dan Verona yang akan beraksi hari ini.

Keputusan Luciano Spalletti mengubah keseluruhan skuadnya yang seri tanpa jaringan dengan Juventus hujung minggu lalu memakan diri apabila nyaris menjadi mangsa pasukan Serie C itu yang sebelum ini menyingkirkan Cagliari dalam pusingan pertama.

“Pemain yang kurang beraksi berdepan kesukaran kerana Pordenone memiliki jentera te­ngah yang sangat bagus.

“Kami tidak dapat mengawal permainan, kami rasa tercabar meskipun kebanyakan pemain sudah memainkan peranan masing-masing dan dari aspek psikologi, keadaan menjadi sukar apabila mereka mengawal permainan.

“Kami berada di bawah potensi sebenar dan pada penghujung permainan saya mula hilang keyakinan,” kata Spalletti.

Spalletti mengambil keputusan luar biasa dengan mengetepikan kapten Mauro Icardi serta Ivan Perisic dan menggunakan Andrea Ranocchia di bahagian pertahanan serta Yann Karamoh sebagai penye­rang selain Padelli. – AFP