Turun sebagai naib juara edisi dua tahun lalu, Zeise mengakui ketibaan skuadnya hari ini tanpa beberapa tonggak akibat faktor kecederaan.

“Semestinya sasaran saya di sini adalah memenangi pingat emas, tetapi untuk saingan kumpulan saya harap Myanmar dan Malaysia akan layak ke peringkat seterusnya. Kali ini saya tidak dapat membawa skuad terkuat kerana kehilangan beberapa pemain akibat masalah kecederaan.

“Singapura pasukan yang ok Laos semakin menunjukkan peningkatan prestasinya apabila berjaya mengikat Thailand dalam kejohanan AFC baru-baru ini manakala Brunei mungkin tidak menjadi masalah untuk kita,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Skuad bawah 23 tahun kendalian Zeise sebelum ini diundi berada dalam kumpulan A bersama Malaysia, Laos dan Singapura.

Mereka bakal memulakan aksi pertama bertemu Singapura pada 14 Ogos ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pasukan Malaysia ketika Myanmar tewas 2-0 dalam aksi persahabatan terakhir sebagai persediaan Sukan SEA bulan lalu, pengendali dari Jerman itu mengakui bahawa pasukan Malaysia banyak menunjukkan peningkatan tetapi turut menjelaskan anak-anak didiknya tidak bermain dengan baik ketika itu.

“Malaysia pasukan yang kuat dan kita pernah tewas 0-2 dalam persahabatan ketika bermain dalam keadaan hujan lebat. Ketika itu mereka mempamerkan persembahan yang baik berbanding kami,” ujarnya.