Mudah untuk dijangka mengapa Mourinho menonton perlawanan iaitu kerana jurulatih berusia 55 tahun itu terdesak untuk me­raih kemenangan ke atas Burnley, oleh itu dia mahu mengetahui taktikal yang digunakan oleh skuad kendalian Sean Dyche menerusi perlawanan itu.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad ini.

Mourinho cuba menyembunyikan identitinya dengan memakai topi dan jaket, malah jurulatih dari Portugal itu juga meninggalkan venue perlawanan lebih awal bagi mengelakkan dirinya dikenali.

Walaupun cuba menyembunyikan identiti namun itu tidak menghalang seorang peminat cilik menghampirinya dan me­minta tanda tangannya.

Mourinho kelihatan gembira setelah melihat kempen Burnely dalam Liga Europa menemui noktah selepas tewas kepada Olympiacos dengan agregat 2-4.

Jawatan Mourinho di Old Trafford dalam bahaya selepas United kalah dua kali berturut-turut selain berdepan isu ketika pasaran perpindahan pemain pada musim panas lalu.

Ramai pemain dan staf percaya Mourinho akan dipecat jika dia tewas di Burnely berdasarkan kepada kenyataan terbuka Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward yang berkata dia mahu menyingkirkan bekas jurulatih Chelsea itu selepas kekalahan kepada Brighton dan Tottenham.

Situasi yang sama berlaku pada zaman Louis van Gaal pada hari terakhirnya di United sebelum dia digantikan dengan Mourinho dan kini pemain Red Devils tidak menolak kemungkinan Zinedine Zidane bakal menjadi bos baharu di Old Trafford.

“Mereka cakap Jose akan pergi tidak lama lagi. Ada yang fikir dia akan disingkirkan jika United kalah kepada Burnley atau kedudukannya tidak akan bertahan lama menjelang bulan September.

“Kelab berkata akan menyokong Jose namun kami semua nampak apa yang terjadi kepada Louis. Pemain sudah bercakap Zidane akan menyertai United,” kata sumber kepada akhbar Bri­tain, Daily Mail. – AGENSI