Semasa ketiadaan Harry Kane, Moura menjadi wira Tottenham apabila menjaringkan hatrik semasa aksi separuh akhir bagi memastikan skuad kendalian Mauricio Pochettino menundukkan Ajax untuk ke final.

Kane sudah kembali cergas untuk aksi final dengan Pochettino enggan mendedahkan sama ada penyerang England itu akan beraksi atau sebaliknya.

Alexander-Arnold mengakui sangat kagum dengan aksi Moura tetapi dia enggan terlalu fokus kepada seseorang individu sahaja.

“Moura berada dalam senarai teratas pemain terbaik.

“Kami tahu cara dia dan Spurs bermain sebagai pasukan. Ini bukan sekadar satu pemain tetapi sebagai pasukan mereka cukup bagus,” katanya.

Robertson juga mengakui bahawa Moura memiliki kualiti dan mampu memberi kesan kepada pertahanan The Reds.

“Lucas adalah wira ketika menentang Ajax. Kualiti yang dimilikinya sangat luar biasa.

“Kami akan cari jalan terbaik untuk mengekangnya dalam perlawanan esok.

“Bagi kami, Spurs adalah pasukan yang kental dan menentang mereka sebelum ini dalam saingan liga juga sangat sukar,” kata kapten Scotland itu.-AGENSI