“Atletico Madrid dan AS Monaco telah mencapai persetujuan awal berhubung perpindahan Thomas Lemar ke kelab kami. Dalam tempoh beberapa hari lagi, kedua-dua kelab dijangka mencapai persetujuan muktamad,” kata kelab Sepanyol, Atletico mengenai pemain berusia 22 tahun tersebut.

Setahun lalu, Lemar pernah dikatakan bersedia untuk menyertai Arsenal, tetapi Monaco menarik diri daripada menjual pemain berkenaan pada harga 100 juta euro (RM469 juta) selepas menjual beberapa bintang mereka.

Lemar turut dikaitkan menyertai Liverpool yang mencari pengganti Philippe Coutinho.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi AFP, yuran perpindahan pemain itu melibatkan harga 75 juta euro (RM352 juta), dengan kontrak pemain kelahiran Guadeloupe itu bakal tamat pada 2020.

Dia menyertai Monaco dari Caen dengan harga 4 juta euro (RM18 juta) pada 2015.

“Sejak musim lalu, Lemar terus mempamerkan kualiti yang dimilikinya,” kata Atletico menerusi laman web kelab itu.

Lemar yang telah bermain dalam 35 perlawanan untuk Monaco, mempamerkan prestasi terbaiknya pada penghujung musim.

Didier Deschamps mengetepikan begitu ramai bintang Perancis di dalam skuad Piala Dunia, tetapi dia kekal yakin dengan Lemar yang menjaringkan gol, baru-baru ini, sewaktu Perancis meraih kemenangan ke atas Colombia dan menundukkan Belanda pada tahun lalu. - AFP