Sirkit empat kejohanan yang julung kali diadakan itu akan menampilkan Mohd. Ali selaku ketua pasukan negara yang akan bersaing dalam kategori 57 kg disamping Saifullah Ismail (57kg) dan Amirul Ariffin (65kg).

Atlet Muay profesional berusia 31 tahun itu memberitahu, selepas menamatkan aksi di Sukan SEA, dia terus memberikan fokus kepada latihan untuk mendepani kejohanan di Singapura bagi meraih keputusan yang positif.

Katanya, setiap hari dia menghabiskan masa sehingga sembilan jam untuk menjalani latihan bagi menaikkan tahap kecergasannya selain memperbaiki strategi serta teknik perlawanan.

“Pingat emas di Sukan SEA sememangnya menjadi pembakar semangat untuk saya beraksi di Singapura.

“Musuh tradisi itu tiada, musuh saya ialah lawan saya semasa di dalam gelanggang sahaja,” katanya ketika ditemui di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN), di sini hari ini.

Kejohanan yang mendapat pengiktirafan Majlis Muay Dunia (WMC) akan berlangsung di Marina Bay Sand Expo untuk sirkit pertama sebelum singgah ke Axiata Arena, Malaysia dan diteruskan ke Macau sebelum kembali ke Singapura bagi acara kemuncak.

Sebanyak empat tali pinggang khas akan dipertandingkan dan juara akan ditentukan dalam sirkit terakhir yang juga akan berlangsung di negara Republik itu.

Antara atlet Muay profesional yang akan bertanding termasuk juara Korean Max FC, Yoon Deok Jae Baby Face Assasin; juara Muay kebangsaan Korea, Seong Bum Woo Crazy Donkey dan juara Stadium Patong 2016 dari Singapura, Brandon Ng.

Dalam aksi di Singapura, Mohd. Ali akan berdepan cabaran Ralf Sarol Francisco dari Filipina manakala Saifullah akan bertemu Wynn Neo dari Singapura dan Amirul akan berdepan Crazy Donkey.