Dalam kata lain, anak-anak buah Zaki Sheikh Ahmad tidak mempunyai pilihan kecuali mengalahkan Terengganu FC yang sedang berada di kemuncak prestasi jika mahu menghidupkan peluang mara ke suku akhir.

Selepas tiga perlawanan, skuad Rusa masih gagal mengutip sebarang mata dan mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, esok untuk mengutip mata yang amat penting.

“Perlawanan menentang Terengganu esok ibarat ‘hidup mati’ kami dalam Piala Malaysia musim ini, jadi kami tidak boleh berputus asa dan kena berjuang habis-habisan.

“Ya, kami kalah dalam semua tiga perlawanan sebelum ini tetapi kami kena menang esok. Anggaplah ia seperti final, gunakan sepenuh peluang untuk cuba memenuhi misi awal layak ke suku akhir,” kata penjaga gol Negeri Sembilan, Kaharuddin Abd. Rahman.

Pada ketika nasib Negeri Sembilan ibarat ‘telur di hujung tanduk’ kerana menduduki tangga tercorot Kumpulan A tanpa sebarang mata, Terengganu sebaliknya akan mengesahkan tiket ke suku akhir jika memenangi perlawanan di Paroi.

Penyerang sensasi Penyu, Kipre Tchetche tidak sabar untuk menghukum skuad Rusa sekali lagi selepas membenam mereka 3-1 pada pertemuan pertama, lima hari lalu.

“Misi kami di Paroi adalah membawa pulang tiga mata. Selepas menang ke atas Negeri Sembilan di tempat sendiri minggu lalu, semangat pasukan amat tinggi ketika ini.

“Saya gembira dapat menjaringkan tiga gol ketika itu dan saya mahu mengulanginya sekali lagi esok. Begitupun, siapa penjaring gol tidak penting kerana yang mustahak adalah pulang bersama kemenangan,” kata pemain kelahiran Ivory Coast itu. - UTUSAN ONLINE