MFL dalam satu kenyataan memaklumkan mereka kini dalam fasa terakhir untuk memutuskan penajaan baharu Liga Malaysia selepas penamatan kontrak dengan Telekom Malaysia (TM) pada 15 Mac lepas dan perkembangan mengenai penajaan baharu ini bakal diumumkan hujung bulan ini.

“MFL juga mengesahkan tidak pernah memaklumkan kepada rakan kongsi untuk menyerahkan geran tahunan pada Ogos ini dan jelas laporan yang disiarkan itu tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat tepat,” jelas MFL.

MFL menegaskan mereka memiliki unit media yang sentiasa bersedia memberikan maklumat atau mengesahkan sesuatu berita yang ingin dilaporkan dan laporan sebegini langsung tidak membantu kepada usaha MFL mendapatkan penajaan baharu malah boleh memberikan kesan yang negatif.

Unit media ini sentiasa berhubung dengan semua aliran media dan memberi maklum balas yang pantas dalam setiap pertanyaan jika ada, jelas MFL.

Laporan akhbar berkenaan mendakwa MFL bakal menyerahkan geran tahunan kepada pasukan Liga Perdana dan Liga Super pada Ogos ini, namun bayaran berkenaan akan diawalkan sekiranya MFL berjaya memuktamadkan perjanjian dengan penaja baharu untuk Liga Malaysia.- BERNAMA