Prestasi Real selepas Ronaldo meninggalkan kelab itu seharusnya menjadi ‘amaran’ kepada Barcelona apabila tiba masanya giliran Lionel Messi pula melangkah keluar dari Camp Nou.

Ronaldo, 33, melakukan kejutan apabila berpindah dari Real ke Juventus yang dilapor­kan membabitkan harga 100 juta euro (RM476 juta), Julai lalu selepas sembilan musim bersama gergasi La Liga itu.

Pada awal musim, Real bergelut dengan prestasi setelah kehilangan khidmat Ronaldo dan mereka juga keciciran lapan mata di belakang pendahulu liga yang juga musuh ketat, Barca, walaupun, Los Blancos memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan.

Kontrak Messi bersama Barca hanya berakhir pada 2021, tetapi bekas pemain tengah kelab itu, Cruyff menggesa agar pasukan Catalan tersebut belajar daripada kesilapan Real.

“Apa yang berlaku di Real adalah satu amaran buat Barca. Barisan pemain yang dimiliki Real masih lagi hebat, tetapi dalam bola sepak anda amat memerlukan pemain walaupun ketinggalan 0-2, tetapi anda masih yakin mampu melakar kemenangan. Ia berlaku dengan kehadiran Messi.

“Ia lebih daripada permainan bola sepak...kerana ini melibatkan kepercayaan,” kata Cruyff yang merupakan jurulatih Chongqing Dangdai Lifan kepada Sport.

Messi mengharungi satu lagi musim yang cemerlang selepas meledakkan 21 gol dalam hanya 20 perlawanan pada semua pertandingan. Bekas pemain antarabangsa Belanda, Cruyff berpendapat, Ronaldo sama seperti Messi di Barcelona yang menjadi tunjang utama kepada Real.

“Apabila anda menganalisis Real dan anda dapat melihat Cristiano adalah pemain yang memegang payung. Apabila hujan, tiada sesiapun yang basah. Sekarang, mereka kehilangan payung itu,” ujarnya. – AGENSI