Coutinho menyaksikan perlawanan itu di tempat duduk Stadium Nou Camp buat kali pertama selepas melengkapkan perpindahan bernilai 160 juta euro (RM769.9 juta) daripada Liverpool.

Pemain Brazil itu tidak memerlukan masa yang lama untuk menghargai corak permainan yang ditampilkan di dalam padang.

“Separuh masa pertama adalah sangat luar biasa,” kata pengendali Barcelona, Ernesto Valverde.

Terikat 1-1 semasa awal perlawanan, juara bertahan tiga kali itu berada di hadapan dengan keputusan 4-0 pada separuh masa pertama.

Messi menjaringkan dua gol pertama pada minit ke-13 dan 15 hasil hantaran menarik daripada Jordi Alba.

Messi kemudiannya mencipta peluang jaringan untuk disempurnakan Alba bagi mengatasi penjaga gawang, Sergio Alvarez sebelum Luis Suarez menjadikan kedudukan 4-0 selepas tempoh 30 minit.

Bintang Perancis, Ousmane Dembele yang dibeli pada harga 105 juta euro (RM504.5 juta) pada tahun lalu menampilkan aksi menarik dengan gerakan lincah mengatasi tiga pertahanan lawan namun gagal melakukan percubaan selepas diterjah pemain lawan.

Dembele bagaimanapun mempunyai masa untuk mencipta peluang bagi jaringan kelima ketika perlawanan berbaki tiga minit selepas sepakan penjurunya berjaya ditanduk masuk Ivan Rakitic.

“Ia merupakan satu kelebihan untuk memiliki Leo dalam pasukan, dia merupakan yang terbaik dalam sejarah.

“Kami sentiasa membantu satu sama lain nuntuk mencipta gol dan hari ini kami melakukannya sebanyak dua kali,” kata Alba.– AFP