Bagaimanapun, mesej yang disiarkan oleh kelab Messi iaitu Barcelona dalam media sosial hanya memburukkan lagi keadaan.

Rakan sepasukan Messi di Barcelona, Ivan Rakitic melengkapkan kemenangan besar Croatia apabila meledak gol ketiga pada waktu kecederaan selepas Ante Rebic dan Luka Modric meletakkan negara itu mendahului 2-0.

Messi, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Argentina seri 1-1 dengan Iceland dalam perlawanan pembukaan mereka, Sabtu lalu sekali lagi gagal menampilkan prestasi terbaiknya berbanding Rakitic.

Sejurus tamat perlawanan, Barcelona mengeluarkan kenyataan di media sosial mengucapkan tahniah kepada kemenangan dan jaringan yang disempurnakan oleh Rakitic, sambil disertakan dengan emoji ‘kekal kuat’.

Begitupun mesej tersebut nyata tidak mengembirakan Messi, yang bukan sahaja terus dibandingkan dengan pencabar utamanya, Cristiano Ronaldo, malah berada di ambang penyingkiran awal.

Seandainya Argentina kalah atau gagal mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir Kumpulan D menentang Nigeria, Rabu depan, Messi dijangka mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa.

Itu bermakna, pemain yang bakal mencecah usia 31 tahun pada 24 Jun ini akan menutup karier skuad kebangsaan tanpa berjaya memenangi sebarang kejuaraan besar, berbanding Ronaldo yang membantu Portugal muncul juara Eropah 2016, selain telah meledak empat gol di Rusia setakat ini. - AGENSI