Kemenangan di gelanggang sendiri yang memberikan tiga mata penting itu melonjakkan kedudukan Melaka United ke tempat keempat dengan mengumpul 10 mata daripada lima perlawanan.

Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan membuka jaringan hasil tandukan pemain tengah, Darko Markovic pada minit ke-14 selepas mendapat hantaran cantik Mohamad Faris Shah Mohd. Rosli.

Jaringan kedua diperolehi dua minit kemudian berpunca dari gerakan solo Mohd. Nazrin Nawi dari bahagian kiri sebelum merembat masuk menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd. Sharbinee Allawee.

Skuad Sang Kancil berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan dengan percubaan-percubaan bahaya namun penyudah tumpul gagal menambah jaringan hingga tamat separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, Kuala Lumpur cuba bangkit memberi asakan hebat kepada tuan rumah namun tidak berjaya menembusi pertahanan Melaka United.

Melaka United berpeluang melebarkan jaringan pada ke-68 oleh Mohd. Nazrin Nawi namun cubaannya ke bahagian penjuru kanan gawang Kuala Lumpur tersasar sedikit.

Permainan kedua-dua pasukan agak seimbang pada babak kedua tetapi dicemari insiden kekasaran oleh beberapa pemain Kuala Lumpur.

Kekalahan terbaru ini menyebabkan skuad The City Boys bimbingan Yusri Che Lah menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang mata selepas melalui empat perlawanan. - UTUSAN ONLINE