Pahang terpaksa bekerja keras hingga tamat permainan dalam pertemuan pertama di Kuantan malam tadi untuk memperoleh gol penyamaan pada minit kedua masa kecedera­an bagi mengikat lawan mereka dengan keputusan seri 1-1.

Keputusan itu walau bagai­manapun dilihat lebih memihak kepada JDT kerana mereka bukan sahaja memiliki kelebihan gol tempat lawan tetapi juga akan bermain di hadapan penyokong sendiri di Stadium Tan Sri Hassan Yunos kelak.

Namun bagi pengendali Pahang, Dollah Salleh, skuad bimbingannya itu masih mempunyai 90 minit baki perlawanan untuk memastikan mereka mara ke peringkat separuh akhir piala berprestij ber­ke­na­an.

“Kesilapan kita adalah melepaskan gol awal pada minit ke-46 perlawanan dan perlu memperbetulkan beberapa kesilapan sebelum bertandang ke Larkin.

“Saya berpuas hati walaupun seri, jika tewas pasti menyukarkan kita berdepan JDT di Larkin 29 September ini,” katanya selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Dollah turut meluahkan pera­sa­an kecewa kerana perlawanan itu kerap terhenti sehingga menyebabkan Tok Gajah tidak sempat melancarkan serangan ke kubu lawan.