Red Devils memenangi semua lima perlawanan di bawah bimbingannya dan merapatkan jurang dengan pasukan tangga keempat Liga Perdana, Chelsea kepada enam mata di belakang.

Begitupun, United bakal berdepan ujian sebenar esok apabila berdepan calon juara liga, Tottenham yang kini menghuni tangga ketiga dengan memenangi 16 daripada 21 perlawanan.

Kredibiliti Solskjaer, 45, akan dinilai sepenuhnya, dan yang lebih penting, pertemuan menentang Spurs mampu menjawab persoalan sama ada pengendali kelahiran Norway 
itu layak dilantik sebagai pengurus tetap United atau tidak.

Spurs bukan Huddersfield, Bournemouth, Reading, Cardiff atau Newcastle, lawan yang dianggap lebih mudah ketika anak-anak buah Solskjaer mencatat lima kemenangan terakhir.

Mereka memiliki statistik yang memberangsangkan, bukan sahaja menang lima kali, malah meledak 16 gol dan menguasai 61.63 peratus permainan dalam semua perlawanan tersebut.

Begitupun, Spurs adalah lawan yang berbeza, apatah lagi mereka akan kembali mendapat sentuhan tonggak utama selepas merehatkan lapan pemain ketika membelasah Tranmere 7-0 dalam Piala FA, minggu lalu, termasuk Mousa Dembele dan Jan Vertonghen.

Bintang penyerang Spurs, Harry Kane dan perancang utama United, Paul Pogba dijangka menjadi tumpuan kedua-dua pasukan dalam aksi di Wembley.

Pogba yang direhatkan dalam Piala FA pertengahan minggu lalu sudah cergas sepenuhnya dan bersedia mengetuai serangan Red Devils.

Namun begitu, Eric Bailly masih menjalani penggantungan dan Chris Smalling mungkin terlepas perlawanan ketujuh berturut-turut akibat kecederaan kaki.

“Ia bukan tugas saya untuk menilai prestasi pengurus pasukan lain, tetapi saya percaya, (Mauricio) Pochettino (pengurus Tottenham) telah menjalankan tugas dengan baik musim ini dan pertembungan esok pasti amat getir.

“Ia pertembungan yang menguji taktikal kedua-dua pasukan tetapi kami sudah cukup bersedia,” kata Solskjaer, yang dijangka meletakkan Phil Jones dan Victor Lindelof untuk mengetuai bek tengah Red Devils. – AGENSI