Malaysia bertemu Thailand bagi merebut ibu segala pingat di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini dan Kim Swee berkata, kemenangan yang dilakar Gajah Perang pada bulan lalu tidak boleh dijadikan rujukan.

“Ini final dan kami bermain di laman sendiri dan saya fikir kita tidak perlu takut pun kepada Thailand sebab kali ini kami lebih bersedia, bukan seperti aksi di Bangkok.

“Mereka mungkin gembira dengan kemenangan 3-0 namun saya hendak memberitahu kepada mereka bahawa final kali ini lebih berbeza,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan separuh akhir yang berkesudahan Malaysia menumpaskan Indonesia 1-0 di Stadium Shah Alam semalam.

Malaysia menentang Thailand dalam aksi final Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam pada Selasa ini.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan melangkah ke pentas final, pengendali dari Melaka itu menasihatkan pemainnya agar tidak terlalu gembira, sebaliknya kekal fokus kepada pertemuan menentang Thailand.

“Saya kena tunggu tiga hari lagi baru boleh gembira. Bagus untuk pasukan kerana layak ke final namun perlu diingatkan perjuangan kami belum tamat.Pemain boleh meraikannya tetapi kena segera kembalikan fokus untuk final,” katanya.

Kim Swee memuji pemainnya yang sentiasa menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa.

“Jika diperhatikan sejak aksi pertama menentang Brunei sehingga sekarang, pemain sentiasa menunjukkan perubahan.

“Itu memberi keyakinan kepada pemain tetapi mereka tidak boleh berasa terlalu yakin sebab Thailand pasukan yang bagus, jadi kena fokus,” katanya.