Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, selain berkelebihan beraksi di laman sendiri, dia turut melihat skuad bawah 23 tahun kebangsaan kali ini lebih tersusun, terma­suk terdapat banyak peningkatan menjelang temasya ke-29.

“Saya yakin skuad kebangsaan dapat menamatkan kemarau ibu segala pingat setelah terlepas pada edisi di Myanmar dan Singapura. Saya pun dah tengok barisan pemain yang Kim Swee senaraikan, semua hebat-hebat.

“Prestasi semasa mereka juga baik, begitu juga beberapa perlawanan yang dihadapinya menjelang Sukan SEA. Mereka punya sistem (permainan bola sepak) yang berbeza berbanding sebelum ini,” kata Ahmad Hazwan yang pernah mewakili skuad kebangsaan dalam Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar.

Hazwan berkata demikian ketika ditemui dalam Kejohanan Futsal Liga Tango Adidas di sini semalam. Turut hadir pemenang Anugerah Puskas 2016, Mohd. Faiz Subri.

Sementara itu, Faiz yang turut senada dengan Hazwan berkata, dia berhasrat untuk datang ke stadium menonton setiap perlawanan Malaysia sebagai tanda sokongan jika berkelapangan.

“Kepada skuad kebangsaan, buat yang terbaik, yakin pada diri sendiri...kita akan peroleh kejayaan,” kata Faiz.