Azlan berkata, dia percaya barisan pemain kendalian Datuk Ong Kim Swee memiliki kualiti permainan bertaraf antarabangsa yang mampu menggalas cabaran negara dalam temasya dwitahunan itu.

Katanya, beraksi di hadapan penyokong sendiri akan menjadi kekuatan tambahan kepada skuad bola sepak untuk membantu menjayakan misi menjadikan Malaysia sebagai juara keseluruhan di Kuala Lumpur.

“Tiada masalah (untuk me­raih pingat emas) kerana pemain-pemain muda ini ada nilai antarabangsa, seandainya mereka ini diasuh lebih lama oleh Kim Swee mereka pasti berjaya.

“Kita menang 2-0 dengan Myanmar baru-baru ini, walaupun berlatih untuk sehari dua sahaja tetapi mereka ada kualiti.

“Pasukan lain mungkin kuat tetapi kita bermain di laman sendiri dan kita memiliki ‘pemain ke-12’, apa yang kita nak takut, saya percaya sekiranya mereka ini dilatih dalam tempoh yang panjang, sudah pasti kejayaan akan diraih,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Sementara itu, dia mengakui turut bersimpati de­ngan nasib yang menimpa Kim Swee kerana sukar mendapatkan pemain untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Sukan SEA ekoran keengganan pasukan-pasukan negeri melepaskan pemain mereka.

Sehubungan itu, Azlan mengingatkan pemain muda serta pengurusan pasukan agar sentiasa meletakkan kepenti­ngan negara sebagai perkara pa­ling utama.