Pemain berusia 25 tahun itu hari ini melengkapkan kontrak enam tahun bernilai 66.8 juta pound (RM354.40 juta), sekali gus menjadikannya penjaga gol termahal di dunia.

“Ia (separuh akhir pertama Liga Juara-Juara) perlawanan yang me­negangkan dalam karier saya tetapi dalam masa sama menyeronokkan. Saya fikir, faktor Anfield turut me­nyumbang kepada kecemerla­ngan Liverpool.

“Betul, ia sebahagian daripada faktor yang mempengaruhi keputusan saya. Apabila anda membuat keputusan penting seperti ini, ia bukan sekadar tentang menukar kelab, sebaliknya seluruh hidup anda, keluarga, isteri serta anak saya.

“Perlawanan itu mempe­ngaruhi saya tetapi saya juga menonton beberapa aksi melibatkan Liverpool. Melihat cara (Jurgen) Klopp memimpin pa­sukan dan ia membuatkan saya amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini,” katanya.

Liverpool membenam Roma 5-2 dalam separuh akhir pertama pada 25 April, sebelum kalah 2-4 di Rom (3 Mei). Mereka mara secara agregat 7-6.

Alisson yang hanya membenarkan gawangnya dibolosi dua kali daripada lima perlawanan Piala Dunia bersama Brazil mendedahkan, rakan senegaranya, Ro­berto Firmino turut mempenga­ruhi keputusannya untuk menyertai Reds.

“Apabila tawa­ran rasmi di­teri­ma, saya tanya pandangan­nya (Firmino) dan dia hanya bercakap tentang perkara baik mengenai kelab serta bandar Liverpool.

“Dia be­ritahu saya, kalau saya datang ke sini, saya pasti akan menjadi orang pa­ling gembira.

“Selain hubu­ngan kami keti­ka bersama skuad kebang­saan, saya amat gembira dapat bergabung dengannya dalam kelab yang sama,” katanya.

Alisson turut mendedahkan mengenai mesej yang dihantar bintang Reds yang juga bekas rakan sepasukannya di Roma, Mohamed Salah sebelum melengkapkan perpindahan.

“Saya tidak banyak berhubung dengan Mo (Salah) selepas dia meninggalkan Roma, kami berjumpa sekali lagi pada separuh akhir Liga Juara-Juara.

“Namun semalam, dia menghantar mesej kepada saya beritahu: ‘Hei, apa lagi yang kamu tunggu?’. Ketika itu rundingan berada di fasa akhir, dan saya beritahu dia ‘Bertenang, saya dalam perjalanan’”, katanya. – AGENSI