Bagaimanapun, ketika ditanya tentang maksud di sebalik gaya tersebut, bintang antarabangsa Mesir itu hanya berkata: “Saya seorang lelaki yang mengamalkan yoga.”

Namun, keputusan Salah memilih gaya tersebut juga memiliki makna tersirat yang sebenarnya turut ditujukan kepada penyokong Liverpool.

Emma Stubbs, seorang guru yoga yang menjalankan perniagaan sendiri Stubbs Yoga di Widnes menjelaskan, Salah melakukan gaya sebatang pokok.

“Gaya pokok itu ialah tentang keseimbangan, jadi Salah menunjukkan betapa bagusnya keseimbangan tubuhnya. Bagaimanapun, ia turut membawa maksud kukuh, tentang bagaimana sebatang pokok yang memiliki akar kuat mencengkam ke bumi.

“Jadi, Salah juga ingin menunjukkan komitmennya kepada Anfield dan Liverpool dengan berdiri tegak seperti sebatang pokok yang mana ia berkait rapat dengan tempat dan kelab dia berada,” katanya.

Emma berkata, gaya tersebut juga mungkin membawa makna tambahan.

“Dalam kedudukan seperti pokok, anda biasanya akan mengangkat tangan di atas kepala. Salah pula sebaliknya meletakkan tangannya dekat di hati. Melakukan sedemikian menujukkan penghormatan kepada diri sendiri, individu yang rapat dengan anda dan mengenal jiwa anda.

“Jadi, apabila anda meletakkan kedua-dua belah tangan bersama, dia ingin memberi penghormatan kepada rakan sepasukan dan peminat Liverpool sambil menunjukkan hubungannya yang begitu rapat di Anfield.

“Jika itu yang dimaksudkan, maka, tindakan Salah berbuat demikian adalah tepat sewaktu meraikan jaringannya itu,” ujar Emma. - AGENSI