Dengan amaran keganasan Sepanyol yang berada pada tahap kedua tertinggi, pihak berkuasa Sepanyol juga mengharamkan trak seberat lebih 3.5 tan daripada memandu berhampiran Stadium Wanda Metropolitano yang akan menjadi tuan rumah perlawanan antara Liverpool dan Tottenham yang dianggap “berisiko tinggi”.

Kenderaan itu turut dilarang daripada memasuki dua kawasan tempat peminat berhimpun di pusat bandar.

“Kami akan memiliki kawalan keselamatan yang ketat bagi memastikan setiap aktiviti dapat berjalan seperti biasa dan semua orang boleh menikmati keseronokan menyaksikan perlawanan,” kata Ketua Polis Sepanyol, Francisco Pardo dalam sidang akhbar, hari ini.

Kira-kira 4,700 anggota polis dan pengawal akan dikerah mengawal keselamatan sewaktu perlawanan berlangsung, di mana jumlah tersebut jauh lebih ramai berbanding sewaktu perlawanan akhir Copa Libertadores antara dua kelab Argenita, River Plate dan Boca Juniors beraksi di Madrid yang turut dianggap sebagai “berisiko tinggi”.

“Kerahan anggota keselamatan kali ini mungkin adalah yang terbesar pernah dikerah untuk sesebuah pertandingan,” kata Pardo.

Tambahnya, buat kali pertama, polis akan menggunakan drone bagi memantau aktiviti penyokong dari udara dengan tujuan menyekat sebarang kejadian tidak diingini berlaku, dan ia akan diselaraskan dengan helikopter polis. - AFP