Arkitek Reds itu dikaitkan dengan perpindahan ke skuad Catalan, yang kini memiliki wang tunai yang banyak hasil penjualan Neymar pada harga 222 juta euro (RM1.12 bilion) kepada Paris Saint-Germain (PSG).

Menurut akhbar Britain, Telegraph, gergasi bola sepak Sepanyol itu telah membuat tawaran pertama buat pemain berusia 25 tahun tersebut dengan harga pembukaan 72 juta pound (RM402 juta) pada bulan lalu, sebelum ditolak pengurus Reds, Jurgen Klopp.

Barcelona kemudian mengemukakan tawaran kedua yang bagaimanapun ditolak sekali lagi dengan Klopp menegaskan Countinho tidak akan dijual pada sebarang harga.

Sekiranya Barcelona gagal dalam usaha membawa Coutinho ke Sepanyol, mereka dijangka memberi tumpuan kepada bintang Perancis, Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund.

Dembele, 20, terlibat dalam pergaduhan dengan penjaga gol Dortmund, Roman Burki, ming­gu lalu dan menyatakan keinginan untuk bermain bersama Barcelona.

Spekulasi perpindahan Coun­tinho bertiup kencang selepas pemain tersebut diketepikan da­lam aksi pramusim minggu lalu, sedangkan dia ketika itu sedang berehat susulan mengalami kecederaan belakang.

Keadaan pemain kebangsaan Brazil itu menyebabkan Klopp berdepan cabaran getir untuk memulakan saingan Liga Perdana Inggeris menentang Wat­ford pada hujung ming­gu ini.

Coutinho, yang telah meledak 14 gol sepanjang musim lepas dan diketepikan selama enam ming­gu akibat kecederaan buku lali telah menandatangani pe­nyambungan kontrak lima tahun pada Janua­ri lalu. Dia tidak mempu­nyai klausa pelepasan dalam kontrak baharunya.

Akhbar yang dianggap ‘lidah’ Liverpool, Liverpool Echo melaporkan, Barcelona telah diberitahu agar tidak membuang masa mengemukakan tawaran ketiga atau cuba me­ningkatkan tawaran.

Berita tersebut hadir sehari selepas wartawan Goal.com Liverpool, Melissa Reddy menafikan dakwaan kononnya Reds telah mencapai persetujuan bernilai 108 juta pound (RM601.83 juta) untuk bekas pemain Inter Milan itu.

“Khabar angin yang mengatakan pegawai Barcelona, Raul Sanllehi, Oscar Grau dan Javier Bordas tiba di Merseyside untuk melengkapkan perjanjian de­ngan Liverpool pada Selasa lalu adalah mengarut, malah tiada sebarang pertemuan diadakan,” katanya. – AGENSI