Penyerang kelahiran Huddersfield, England itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 untuk TFC meraih bekalan terbaik sebelum menerima kunjungan Felda United di laman sendiri dalam suku akhir kedua, Jumaat depan.

Terdahulu, pasukan pelawat memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila mendahului 1-0 menerusi tandukan pemain tengah, Nasrullah Haniff seawal minit kesembilan.

Felda bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang kelahiran Brazil, Gilberto Fortunato yang menolak bola menewaskan penjaga gol pada minit ke-56 selepas berlaku kekecohan di depan gawang lawan.

Ketika permainan berbaki sembilan minit, pasukan pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas bola rembatan pemain tengah Terengganu, J. Parthiban terkenal tangan pertahanan tuan rumah, Thiago Aquino dalam kotak penalti.

Lee Tuck yang mengambil tendangan tidak menghadapi masalah untuk menewaskan penjaga gol, Farizal Harun. - UTUSAN ONLINE