Lampard masih gagal meraih kemenangan pertama sebagai pengurus Chelsea selepas pasukannya diikat 1-1 oleh Leicester dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Kembali ke Stamford Bridge buat kali pertama, pemain berusia 20 tahun, Mason Mount memberi permulaan sempurna buat Lampard apabila meledak gol pembukaan seawal minit ketujuh.

Begitupun, Wilfred Ndidi merosakkan harapan Blues untuk mengutip tiga mata selepas meledak gol penyamaan pada minit ke-67.

Bagaimanapun kata Lampard, pasukannya menunjukkan aksi yang baik,termasuk ketika dibelasah 4-0 oleh United dalam perlawanan pembukaan liga.

"Ya, keputusan yang perlu diterima. Cuma saya agak pelik, berbanding aksi hari ini, secara keseluruhan saya lebih gembira dengan persembahan kami ketika menentang United walaupun kami tewas 0-4.

"Sebenarnya, kami bermain baik ketika itu berbanding hari ini atau ketika menentang Liverpool (Piala Super).

"Bagaimanapun, kami memerlukan kedua-dua elemen - keputusan dan persembahan yang baik dan saya yakin kami akan bangkit kerana kami ada banyak pemain berkualiti.

"Banyak pengajaran yang diterima dalam perlawanan hari ini, begitu juga dua aksi sebelum ini.

"Hari ini cukup istimewa kerana saya kembali ke Stamford Bridge sebagai pengurus Chelsea, ia ibarat impian menjadi nyata. Apa pun fokus saya hanya kepada permainan," kata Lampard. - AGENSI