Pertahanan Perancis, Joris Gnagnon menerima kad merah selepas dia didapati menyepak keras kaki pemain muda Liverpool berusia 18 tahun Yasser Larouci. Pemain muda Algeria itu yang mencuri tumpuan ramai sejak beberapa minggu lalu, terpaksa diusung keluar padang akibat kekasaran tersebut.

Ia berpunca daripada rasa tidak puas hati Sevilla terhadap Liverpool yang enggan menyepak bola keluar selepas salah seorang pemain mereka terbaring di atas padang. Pemain remaja itu kelihatan melangkah keluar dari Fenway Park dengan kaki kanannya berbalut dan dia dijangka menjalani ujian imbasan, hari ini.

Jurgen Klopp keberatan untuk mengulas lanjut tentang kekasaran itu, sementara Gnagnon membuat permohonan maaf menerusi media sosial, Twitter: “Saya memohon maaf kepada pemain dan Liverpool. Kekasaran adalah perbuatan yang buruk dan tidak seharus­nya terjadi ketika dalam padang. Doa saya kepada pemain dan juga keluarganya.”

Kejadian yang berlaku ke atas Larouci, telah menyebabkan bek tengah, Virgil van Dijk dan penolong kapten, James Milner berang.

“Saya melihatnya sendiri, terutama ia berlaku ke atas pemain muda yang baru hendak menimba pengalaman, musim ini, ia bukan sesuatu yang bagus. Tiada siapa yang mahu ditimpa kecederaan pada pra-musim. Saya berharap ia tidak terlalu serius,” kata Van Dijk.

Milner pula berkata, kekasaran itu sesuatu yang memalukan dan perlawanan tersebut hanyalah berstatus persahabatan.

“Biasanya anda tidak akan melihat kad merah dalam aksi persahabatan. Jika anda mahu melakukan kekasaran juga, tariklah jersinya. Jangan sepak lutut pemain muda. Ia perbuatan memalukan,” tegas Milner. – AGENSI