Pertemuan di kubu kuat Real, Santiago Bernabeu menjanjikan aksi sengit, yang mana pemenang akan merampas kedudukan pendahulu Kumpulan H. Selepas dua perlawanan, Real dan Tottenham berkongsi enam mata maksimum.

Turut menjadi tumpuan perlawanan Kumpulan F di Stadium Etihad selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City melaungkan misi mahu berpesta gol apabila menerima kunjungan kelab Itali Napoli.

Dalam Kumpulan E, juara Eropah lima kali, Liverpool pula mencari kemenangan sulung apabila bertandang ke Slovenia untuk menentang Maribor.

Berikut adalah fakta nombor untuk lapan perlawanan Liga Juara-Juara yang berlangsung awal pagi ini (pukul 2.45 pagi Rabu waktu Malaysia). - UTUSAN ONLINE

SPARTAK MOSCOW (Rusia) lwn SEVILLA (Sepanyol)

25 – Spartak kalah dalam 25 daripada 37 perlawanan terakhir Liga Juara-Juara. Hanya menang lima kali.

6 – Penyerang Sevilla, Wissam Ben Yedder telah meledak enam gol dalam tujuh penampilan Eropah, termasuk empat dalam dua aksi musim ini.

MARIBOR (Slovenia) lwn LIVERPOOL (England)

0 – Maribor tidak pernah menang dalam sebarang perlawanan Liga Juara-Juara. Pernah membuat penampilan dua kali sebelum ini - musim 1999/2000 dan 2014-2015.

29 – Liverpool melakukan 29 percubaan lebih banyak berbanding lawan mereka dalam dua perlawanan peringkat kumpulan musim ini. Mereka membuat 17 percubaan ketika menentang Sevilla dan 12 dalam pertemuan dengan Spartak. Begitupun kelab England itu masih belum mencatat kemenangan.

MANCHESTER CITY (England) lwn NAPOLI (Itali)

10 – Manchester City mengharungi aksi tanpa kalah paling panjang di laman sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara iaitu 10 perlawanan.

12 – Tiada satu pun daripada 12 perlawanan terakhir Napoli dalam Liga Juara-Juara di tempat lawan berakhir tanpa jaringan.

FEYENOORD (Belanda) lwn SHAKHTAR DONETSK (Ukraine)

4 – Feyenoord tidak pernah kalah dalam empat perlawanan terakhir apabila berdepan lawan dari Ukraine, namun mereka tidak pernah melangkah ke peringkat kalah mati dalam empat penampilan terakhir.

11 – Penjaga gol Shakhtar, Andriy Pyatov menyelamatkan penalti penyerang Manchester City, Sergio Aguero dalam aksi terakhir Liga Juara-Juara. Keseluruhannya dia telah menyelamatkan 11 penalti musim ini.

MONACO (Perancis) lwn BESIKTAS (Turki)

409 – Radamel Falcao tidak menjaringkan gol sepanjang 409 minit beraksi dalam Liga Juara-Juara. Itu adalah kemarau terpanjang buat penyerang Monaco tersebut.

8 – Pengurus Besiktas, Senol Gunes seri lapan kali dalam 14 perlawanan Liga Juara-Juara.

RB LEIPZIG (Jerman) lwn PORTO (Portugal)

11 – Penyerang Porto, Yacine Brahimi muncul pemain kedua paling banyak menggelecek lawan (11 kali) selepas Neymar (13).

12 – RB Leipzig memasuki perangkap ofsaid 12 kali dalam dua perlawanan terakhir - paling banyak dalam Liga Juara-Juara.

APOEL (Cyprus) lwn BORUSSIA DORTMUND (Jerman)

1/46 – APOEL hanya menang sekali daripada 46 perlawanan menentang kelab Jerman. Kemenangan tunggal hadir pada Oktober 1980 ketika mengalahkan Dynamo Berlin 2-1 dalam Piala Eropah di tempat sendiri.

4x3 – Dortmund kalah dalam empat aksi terakhir Liga Juara-Juara, melepaskan tiga gol dalam semua perlawanan.

REAL MADRID (Sepanyol) lwn TOTTENHAM (England)

29 – Juara bertahan, Real Madrid tidak pernah tewas dalam 29 aksi terakhir Liga Juara-Juara. Di tempat sendiri, mereka menang 21 daripada 23 perlawanan.

6/8 – Tottenham meledak enam gol dalam lapan perlawanan terakhir Liga Juara-Juara musim ini. Harry Kane terlibat dalam semua gol tersebut sama ada sebagai penjaring atau mencipta gerakan.