Dengan kemenangan tersebut, Kedah yang menduduki tangga ketiga liga mengumpul 15 mata sekali gus merapatkan jurang dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai pendahulu manakala Pahang di tempat kedua dengan masing-masing mengumpul 20 dan 18 mata. Kedua-duanya bakal beraksi esok.

Dalam aksi malam ini, skuad Lang Merah mendahului Terengganu pada minit ke-24 menerusi sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Jonatan Bouman.

Kedah tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua iaitu selang lapan minit menerusi Zaquan Adha Abd. Razak yang bijak memperdayakan penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman selepas menerima hantaran cantik daripada Farhan Roslan.

Kedah terus melancarkan serangan bertali-arus bagi menambah jaringan namun dipatahkan barisan pertahanan Terengganu. Kedudukan 2-0 kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, Terengganu mula memperkemaskan rentak permainan dengan melancarkan beberapa serangan bahaya namun tidak berjaya menghasilkan jaringan.

Kedah walau bagaimanapun meranapkan usaha Terengganu untuk bangkit apabila menambah jaringan ketiga menerusi rembatan deras Fernando Rodriguez pada minit ke-72 selepas menerima hantaran Farhan yang sama sekali tidak mampu diselamatkan oleh Suffian.- UTUSAN ONLINE