Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim berkata, jumlah kutipan dana itu mampu diraih hasil penjualan kira-kira 18,000 tiket berharga RM20, RM30 dan RM50 mulai 3 petang esok.

Katanya, perlawanan amal anjuran PBNJ dan Kelab Bola Sepak JDT yang julung kalinya diadakan itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 30 Jun ini menjadi perlawanan yang dinanti-nantikan apabila dibarisi lagenda bola sepak dunia yang terkenal pada suatu ketika dahulu.

“Antara pemain yang akan beraksi bersama-sama Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah Ronaldo, Claudio Caniggia, Robert Pires, Edgar Davids, Rivaldo, Marco Materazzi, Gianluca Zambrotta, Bebeto, Esteban Cambiasso, Claude Makalele, Florent Malouda dan ramai lagi.

“Semua hasil kutipan akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Women’s Aid Organisation, serta cabutan bertuah” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dan Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Anizam Jamian. - UTUSAN ONLINE