Ozil, yang membuat penampilan sebanyak 92 kali bersama skuad Die Mannschaft, mengambil keputusan bersara itu selepas tamat kempen Piala Dunia, setelah mendakwa dia menjadi kambing hitam terhadap kegagalan Jerman di kejohanan tersebut.

Ia susulan setelah Ozil dan rakan sepasukannya Ilkay Gundogan, yang dilahirkan di Jerman namun berdarah Turki, membuat pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebelum bergambar bersama.

Bintang Arsenal terbabit memetik nama Grindel dalam kenyataan berhubung persaraannya itu dengan berkata: “Di mata Grindel dan penyokongnya, saya adalah warga Jerman apabila menang, namun saya dilabel sebagai pendatang setelah tewas”.

Ketua DFB dengan tegas menafikan tuduhan terhadap isu perkauman dan enggan meletak jawatan susulan isu terbabit.

Pada Julai, akhbar terlaris Jerman Bild, mempersoalkan sama ada Grindel tetap dibayangi isu tersebut untuk membida kejohanan Eropah itu, dengan Turki selaku pencabar lain.

“Semua orang di dalam DFB dan EUFA kenal saya dengan baik. Saya diberi kepercayaan yang mendalam yang mana mereka akan meletakkannya secara perspektif.

“Jadi saya fikir tiada sebarang pengaruh yang akan mencemarkan proses bidaan ini,” kata Grindel, 56, kepada AFP dalam temu bual eksklusif di Monaco.

Beberapa ahli politik Jerman telah menuduh Erdogan menggunakan persaraan Ozil untuk meningkatkan tawaran Turki selaku tuan rumah Euro 2024.

Grindel sendiri seorang bekas ahli politik, dan berkhidmat di Bundestag dalam parti Chancellor Angela Merkel selama lebih dari satu dekad sebelum berpindah ke DFB pada 2016.- AFP