Penolong Ketua Jurulatih Kedah Victor Andrag berkata sejak menggalas tanggungjawab mengendalikan Lang Merah, dia hanya mengharapkan pemain bangkit semula dan menang dalam perlawanan itu bagi menaikkan semula motivasi pemain sekali gus kekal dalam kelompok ketiga carta.

"Kemenangan ini datangnya dari kehendak pemain dan komitmen pemain untuk bangkit selepas tewas kepada Kuala Lumpur Sabtu lepas, itu matlamat besar mereka," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan Liga Super itu, malam tadi.

Victor yang juga bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Kedah musim lalu kini mengendalikan Lang Merah selepas ketiadaan Ketua Jurulatih Aidil Sharin Shahak yang mengikuti Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC 2019-2020 selama 11 hari di ibu negara bermula Ahad lalu (7 April).

Dia berkata, kehadiran semula pemain pertahanan Rizal Ghazali serta penjaga gol Ifwat Akmal Che Kasim turut mengembalikan semula kekuatan pasukan selain Farhan Roslan yang bijak mengisi bahagian tengah selepas Anmar Fares Almubaraki tidak diturunkan akibat kecederaan.

"Mohd Farhan Roslan berjaya membuktikan kemampuannya selepas Anmar tidak dapat beraksi. Saya rasa dia main cukup baik malam ini dan sebelum ini pun kita ada buat perancangan masa Anmar ada pun kita kerap buat pertukaran di tempat Anmar dengan Farhan, N.Thanabalan dan pemain lain.

“Jadi kita tiada masalah pemain untuk mengisi di bahagian tengah," katanya.

Victor menarik perhatian dengan kejayaan meraih tiga mata itu telah menyuntik semula keyakinan pemain untuk perlawanan Piala FA bertemu PJ City FC di Stadium Darul Aman pada 16 April ini.

Kedah kini ditangga ketiga Liga Super dengan mengumpul 15 mata di bawah Pahang dan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Terengganu FC Mohd Nik berkata ketiadaan penyerang berbisanya Lee Tuck banyak mempengaruhi perlawanan sehingga tewas pada tangan tuan rumah dengan tiga jaringan.

"Kami banyak hilang bola dan tiada penyudah walaupun pemain banyak mencipta peluang menjaringkan gol," katanya yang tetap memuji anak buahnya yang memberikan tentangan hebat kepada pasukan Kedah terutama di separuh masa kedua.

Mohd berkata dia berharap pasukannya itu mempunyai peluang dalam Piala FA selepas melihat tiada harapan dalam Liga Super.

"Cuma saya harap pemain ambil peluang ini dan tumpu kepada Piala FA kerana tak banyak langkah dah untuk ke suku akhir dan berada lapan pasukan terbaik," katanya.- BERNAMA